Industri Asas Tani (IAT)

PENGENALAN

Program IAT diwujudkan adalah untuk membangunkan usahawan di bidang pemprosesan makanan yang menekankan pembangunan dan peningkatan kualiti produk ke pasaran global. Sehubungan dengan ini, aspek promosi, pemasaran, pembiayaan dan teknologi akan diberi tumpuan sebagai pemangkin ke arah mencapai objektif program ini. Penekanan juga diberikan kepada aktiviti pemprosesan atau nilai ditambah dan membangunkan usahawan industri asas tani nasional yang bersepadu ke arah peningkatan pendapatan kepada masyarakat tani.

STRATEGI PERLAKSANAAN

Dalam usaha menjayakan program tersebut, Kementerian dengan kerjasama Jabatan Pertanian turut merancang beberapa program utama melalui strategi berikut :-

● Peningkatan modal insan,
● Peningkatan keupayaan pengeluaran,
● Peningkatan kualiti produk,
● Pembangunan dan pengembangan produk
● Pembangunan penjenamaan, promosi dan pemasaran.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF

1. Membangunkan dan mengembangkan aktiviti pemprosesan atau nilai tambah produk agro-makanan dengan menambah penglibatan usahawan dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian atau nilai tambah produk agro makanan.

2. Memperkukuhkan kualiti produk bagi menembusi pasaran dan rangkaian global melalui penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan yang berinovatif bagi memenuhi kehendak pengguna serta pasaran tempatan dan luar negara. Usaha ini diambil untuk memperkukuh pasaran tradisional dan menembusi pasaran baru berasaskan pematuhan kepada keperluan antarabangsa seperti persijilan halal, GHP, GMP, HACCP, MQAS dan VHM.

3.Meningkatkan pendapatan usahawan, petani, penternak dan nelayan dengan penglibatan lebih serius individu dan perkumpulan usahawan petani, penternak dan nelayan dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Penekanan diberikan menerusi aktiviti tambahan dan nilai tambah ‘value added’ yang tinggi di mana boleh menjana pendapatan tambahan kepada mereka.