Perutusan Pengarah

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat melangkah ke tahun baru 2023 kepada semua komuniti tani khususnya di Negeri Terengganu serta seluruh pelosok negara.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada warga Jabatan Pertanian Negeri Terengganu kerana memberi komitmen sepenuhnya dalam meneruskan misi dan visi jabatan ke arah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian Negeri Terengganu.

Bagi memenuhi hasrat ini, jabatan telah merangka pelbagai strategi dan formula dalam memastikan program-program jabatan berjalan dengan lancar dan sempurna demi memenuhi kehendak masyarakat selari dengan aspirasi kerajaan negeri dan pusat.

Pada tahun 2023 ini juga Jabatan Pertanian akan memberi tumpuan terhadap 4 cabaran utama, 4 sasaran industri dan 16 fokus dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik buat seluruh golongan sasar dalam industri agromakanan negara.

Selain itu, perkhidmatan pengembangan teknikal kepada pelanggan, petani dan usahawan masih menjadi fokus utama jabatan dalam meningkatkan daya pengeluaran terutamanya dalam sektor pengeluaran tanaman makanan dan pemprosesan. Pengiktirafan hasil tani melalui skim pensijilan myGAP dan myOrganic menjadi penanda aras dalam memastikan sumber makanan adalah selamat dan bebas bahan kimia bertoksik.

Di kesempatan ini juga saya menyeru kepada petani yang baru menceburi bidang pertanian dan juga yang berminat melibatkan diri dalam bidang ini supaya bertemu mata dengan pegawai di Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat. Inshaallah, berkat nasihat tersebut projek yang diusahakan tidak akan menemui kegagalan. Sebarang persoalan akan dijawab oleh pihak kami dengan sebaik mungkin demi memenuhi kehendak rakyat khususnya di Negeri Terengganu.

Saya berharap dengan adanya laman Web Rasmi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ini dapat meluaskan jaringan sebaran maklumat kepada pelanggan dan golongan sasar. Semoga medium perantara ini menjadi satu anjakan positif dalam usaha untuk memastikan maklumat sentiasa berada di hujung jari.

Akhir kata Selamat Maju Jaya dengan apa yang anda ceburi. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu atas sifat manusia yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Selamat melayari Laman Web Jabatan Pertanian.

DATO’ ZULKEPLI AMIN BIN MAT JUSOH @ YUSOF

Pengarah Pertanian

Negeri Terengganu