Taman Pertanian Negeri (TPN) Sekayu

Taman Pertanian Negeri (TPN) terletak di Kampung Sekayu, Mukim Tersat, Daerah Hulu Terengganu. Lokasi ini sejauh 52km dari Bandar Kuala Terengganu dan 16km dari Bandar Kuala Berang. Taman Pertanian NegeriSekayu yang berkeluasan fizikal 85ha ini mempunyai pelbagai laman buahan komersil, tanaman nadir, herba, orkid dan hutan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna. Taman pertanian ini telah mula dibangunkan pada 1982 dan dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Bin Muhammad pada tahun 1992.

Taman Pertanian Negeri Sekayu dibangunkan bagi tujuan agro pelancongan, eko-pelancongan dan edu-pelancongan di samping menyediakan kemudahan rekreasi. Salah satu tarikan utama di TPN Sekayu ini adalah Taman Tema Air yang telah dibina pada 2008 dan mampu menampung kapasiti seramai 300 orang pada satu masa. Selain itu, TPN Sekayu juga sering menjadi pilihan utama pihak sekolah menganjurkan kem perkhemahan dengan kapasiti sehingga 800 orang peserta di tiga lokasi perkhemahan.

Selain dari aktiviti perkhemahan, kemudahan penginapan yang disediakan di TPN Sekayu juga amat lengkap bagi pengunjung atau institusi yang ingin menganjurkan program di sini. Sebanyak 5 buah chalet dengan kemudahan 11 buah bilik serta 2 buah asrama yang mampu menampung seramai 80 penghuni setiap satu sudah pasti melengkapi percutian dan melancarkan aktiviti di sini.

Bagi yang berminat untuk membuat tempahan penginapan atau sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi:

Encik Mohd Amran Bin Awang
Pengurus, Taman Pertanian Negeri Sekayu,
No telefon : 09-6124406